BANDAR SERI BEGAWAN, KHAMIS, 29 JUN — Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah menjalankan operasi sepadu baru-baru ini, yang membawa kepada penemuan acara hiburan yang diadakan tanpa kebenaran di sebuah kawasan kediaman di Mentiri. Kes ini disusuli dengan siasatan di bawah Akta Hiburan Awam (Penggal 181).
Dalam operasi tersebut, satu acara hiburan yang menampilkan persembahan kumpulan muzik secara langsung atau ‘live band‘ telah diadakan di sebuah flat di Kampong Perpindahan Mentiri tanpa memperoleh kebenaran daripada pihak berkuasa yang berkenaan.
Hasil operasi tersebut, beberapa peralatan muzik telah dirampas. Selain itu, sebuah kereta turut ditahan kerana dipercayai berkaitan dengan barang tegahan yang ditemui di lokasi acara. Barang tegahan berkenaan serta kenderaan yang ditahan telah diambil alih oleh JKED bagi tindakan selanjutnya.



PPDB ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mendapatkan kebenaran yang sewajarnya daripada pihak berkuasa sebelum mengadakan sebarang acara hiburan awam, bagi memastikan acara tersebut menepati peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
Sehubungan itu, PPDB turut menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama dengan pihak Polis dalam membendung sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan keamanan dan ketenteraman awam, termasuk dengan menyalurkan sebarang maklumat melalui talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
