GADONG, 30 September – Pada pagi 30 September 2025, bagi menangani jenayah curi kabel yang berlaku di Negara Brunei Darussalam, Operasi Besi 1.0 telah dijalankan secara serentak di seluruh negara yang menyasarkan sebelas syarikat kitar semula besi terpakai di kesemua daerah di negara ini.
Operasi dikendalikan oleh Task Force Kecurian Kabel PPDB yang diketuai di setiap daerah oleh Pegawai Jenayah Daerah masing-masing. Turut serta di dalam operasi berkenaan adalah pegawai-pegawai dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRE).
Operasi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan PPDB dan pihak-pihak berkuasa dalam memberi kesedaran dan memastikan syarikat atau pusat kitar semula tidak sewenang-wenangnya menerima besi terpakai terutama sekali logam tembaga yang tidak diketahui dengan jelas asal usulnya.
Pihak syarikat dan pusat kitar semula juga telah ditegaskan untuk melaksanakan tanggungjawab dalam memastikan besi terpakai yang diterima adalah sah dari segi undang-undang dan diperolehi daripada sumber yang betul. Dalam masa yang sama, mereka juga ditegaskan untuk menyalurkan maklumat kepada PPDB mengenai pihak atau individu yang cuba untuk menjual logam atau besi terpakai yang dicurigai atau dipercayai hasil dari kegiatan curi.
Pemberigaan juga diberikan ke atas syarikat-syarikat mengenai kesalahan menerima dan menghapuskan barang curi di bawah Seksyen 411 dan 414, Kanun Hukuman Jenayah Bab 22 yang boleh membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 5 tahun dan denda.
Selain daripada syarikat atau pusat kitar semula, PPDB juga telah mengenalpasti dan akan terus membuat operasi pemeriksaan ke atas pihak-pihak persendirian yang terlibat dalam pembelian dan penjualan besi-besi terpakai. Orang ramai juga disarankan untuk menyalurkan apa jua maklumat yang berkaitan dengan kegiatan curi kabel atau aktiviti kitar semula yang mencurigakan kepada pihak PPDB.



Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
