GADONG, Selasa, 30 Jun 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini menerima lawatan rasmi daripada rombongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak yang diketuai oleh Yang Dihormati Datuk Mohamad Zainal bin Haji Abdullah, Pesuruhjaya Polis Sarawak, bertempat di Dewan Bankuet, Mes Pegawai, Gadong.

Hadir mengalu-alukan ketibaan rombongan ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, PPDB. Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohd Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, serta pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan anggota PPDB.

Sejurus ketibaan, Yang Dihormati Pesuruhjaya Polis Sarawak menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan kehormatan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi menandatangani lembaran kenangan dan sesi bergambar ramai.

Rombongan seterusnya mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Mulia Pesuruhjaya Polis, PPDB di Bilik Pengiran Putera Negara, disusuli dengan sesi pertukaran cenderahati sebagai tanda penghargaan dan persahabatan erat antara kedua-dua pasukan polis.

Pada sebelah petang, satu Mesyuarat Hubungan Dua Hala telah diadakan bagi membincangkan bidang-bidang kepentingan bersama antara PPDB dan PDRM Kontinjen Sarawak, khususnya dalam memperkukuhkan kerjasama dan perkongsian maklumat berkaitan keselamatan dan jenayah rentas sempadan.

Perbincangan merangkumi dialog perisikan strategik, pengemas-kinian pegawai perhubungan, kerjasama dalam operasi mencegah jenayah rentas sempadan, pengukuhan hubungan operasi maritim, pelbagai operasi dan rondaan bersepadu, serta latihan bersama.

Lawatan dan perbincangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan PPDB dan PDRM dalam memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik yang telah lama terjalin, di samping meningkatkan persefahaman serta mempereratkan hubungan profesional antara kedua-dua pasukan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan serantau terus terpelihara.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI