GADONG, Isnin, 22 Jun 2026 – Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1448 diselajurkan dengan Doa Kesyukuran bagi Jemaah Haji PPDB di Surau Polis Gadong. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB. Turut hadir Pengarah-pengarah, Timbalan pengarah, Pegawai-pegawai kanan, Pegawai-pegawai, keanggotaan dan kakitangan awam PPDB. 

Majlis diserikan dengan ceramah bertajuk ‘Hijrah Wira Bertakwa: Memperkukuh Aqidah dan Memperkasa Syakhsiah’ yang disampaikan oleh penceramah undangan Yang Mulia Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Ugama Negara Brunei Darussalam. 

Ceramah ini mengupas hakikat penghijrahan diri sebagai satu proses perubahan berterusan ke arah menjadi insan yang lebih bertakwa, berintegriti dan berakhlak mulia. Berinspirasikan perjalanan hijrah baginda Rasulullah ﷺ, pendengar ceramah diperjelaskan bahawa kejayaan sebenar bermula dengan pemerkukuhan aqidah, pembinaan hati yang bersih serta pembentukan syakhsiah yang unggul.

Akhirnya, ceramah ini mengajak warga pasukan beruniform dan penjawat awam, untuk menjadi “Wira Bertakwa” yang bukan sahaja cemerlang dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab, bahkan sentiasa istiqamah dalam memperkukuh aqidah, memperkasa syakhsiah dan meraih keredaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Kemudiannya majlis diteruskan dengan Dikir Marhaban bagi meraikan Jemaah Haji PPDB, dan penyampaian cenderamata penghargaan kepada penceramah jemputan. Seterusnya diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran kepulangan Jemaah Haji PPDB.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI