BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 14 Jun 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menyampaikan taklimat bertajuk “Penipuan Dalam Talian” kepada kakitangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dalam dua sesi berasingan pada 8 dan 10 Jun 2026.

Sesi pertama diadakan di Executive Lounge, Ibu Pejabat BIBD dan dihadiri oleh 52 orang kakitangan, manakala sesi kedua berlangsung sempena Program Siri Bicara Inspirasi (BISAI) KKBS bertajuk “Amanah Digital: Tanggungjawab Penjawat Awam Dalam Menangani Jenayah Siber” dengan kehadiran 117 orang pegawai dan kakitangan kementerian tersebut.

Taklimat tersebut menekankan ancaman penipuan dalam talian yang semakin berleluasa, termasuk cara mengenal pasti tanda awal mangsa yang berkemungkinan tertipu seperti kelihatan cemas, tergesa-gesa melakukan transaksi, menerima arahan melalui panggilan atau mesej semasa berurusan, serta tujuan transaksi yang mencurigakan. Turut dikongsikan ialah langkah-langkah tindakan apabila mengesan maklumat yang meragukan, serta kepentingan membuat laporan melalui Talian Bantu Penipuan Dalam Talian 16993 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Taklimat seumpama ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PPDB dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai jenayah siber serta memperkukuhkan kerjasama dengan pelbagai agensi dan organisasi dalam membendung kegiatan penipuan dalam talian.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI