LUMAPAS, Sabtu 17 Dis 2022 – Kerjasama berterusan di antara Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menerusi Operasi Rondaan Task Force COVID-19 telah berhasil membuat penemuan ke atas dua (2) buah kenderaan yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan pada 14 Disember 2022 sekitar waktu malam di kawasan perindustrian Kampung Lumapas, Daerah Brunei Muara. 

Bertindak dengan aduan laporan penemuan, Balai Polis Kampong Ayer PPDB segera menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati terdapatnya bungkusan kotak-kotak yang mencurigakan tersimpan di kawasan tempat duduk penumpang berserta di dalam bonet kedua-dua kenderaan berkenaan. 

Setelah pemeriksaan dijalankan telah menemukan 10 bungkusan kotak besar yang berisi 500 katon barang tegahan rokok dengan pelbagai jenama. 

Kesemua barang rampasan berserta dua buah kenderaan tersebut diserahkan ke JKED bagi siasatan dan tindakan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai apa jua kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​