PANAGA, Khamis 15 Dis 2022 – Tanggungjawab sesama berjiran mampu melahirkan satu budaya kekitaan serta nilai yang positif dalam pembinaan sahsiah insan yang terpuji. Ianya bukan sahaja terkesan terhadap diri sendiri bahkan menular dan mempengaruhi ke dalam komuniti sesebuah masyarakat yang ingin menyaksikan sikap persefahaman, pemedulian, bantu membantu serta kerjasama agar sentiasa wujud dalam kehidupan seharian sesama berjiran. 

Pembentukan sifat-sifat terbaik akan membangkitkan semangat kehidupan berjiran yang bukan sahaja menumpukan kepentingan tali persaudaraan malah isu keselamatan dan keamanan merupakan agenda yang dititikberatkan kebelakangan ini. 

Sehubungan itu, berpaksikan program Pengawasan Kejiranan (PK) yang diperkenalkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), satu sesi muzakarah telah dikendalikan oleh Ibu Pejabat Daerah Polis Belait bersama para Penghulu dan Ketua-Ketua Kampong di Daerah Belait telah dikendalikan pada 14 Disember 2022 bertempat di Mess Pegawai Daerah Polis Belait, Panaga, Seria. 

Permuzakarah berkenaan dipengerusikan oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Yang Mulia Penguasa Kanan Polis (Snr Supt) Handrie bin Haji Amin yang telah menyentuh beberapa perkara menjurus kepada pengenalan dan peranan utama Pengawasan Kejiranan (PK) dalam institusi kemasyarakatan menjurus kepada keamanan, kesejahteraan dan keselesaan penduduk kampung. 

Turut hadir semasa permuzakarahan ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Belait, Yang Mulia Mohammad Fadzil bin Yanie berserta penghulu dan ketua-ketua kampung. Antara lain topik perbincangan ialah menjurus kepada statistik-statistik jenayah dan kemalangan lalulintas bagi tahun 2022 serta tatacara pencegahan dan penghindaran terhadap trend-trend jenayah yang berlaku dibawah tadahan Daerah Belait.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​