TUTONG, Sabtu 29 Okt 2022 – Dua (2) orang lelaki warganegara tempatan (suspek) berumur 76 dan 62 tahun diberkas pihak polis kerana dipercayai telah terlibat dengan aktiviti perjudian 4D loteri di Daerah Tutong. 

Operasi yang dikendalikan oleh keanggotaan detektif Ibu Pejabat Daerah Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada pagi 29 Oktober 2022 itu telah berhasil menyerbu 2 orang suspek yang dipercayai sedang leka membuat kegiatan mengutip taruhan perjudian 4 digit loteri di kawasan tepi bangunan premis perniagaan, Jalan Enche Awang, Pekan Tutong. 

Semasa kejadian serbuan, pihak polis turut merampas beberapa barang bukti di tempat kejadian iaitu telefon bimbit beserta kepingan kertas taruhan dipercayai digunakan untuk aktiviti judi pertaruhan. Kesemua barang bukti dan kedua suspek dibawa ke Balai Polis Tutong bagi siasatan lanjut. 

Kes siasatan ini disiasat di bawah Seksyen 4 (D) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28. 

Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas maklumat berhubung kegiatan tersebut dan menyarankan kepada orang ramai untuk mengongsikan maklumat apa saja kegiatan-kegiatan yang mencurigakan kepada pihak polis atau ke talian kecemasan Polis 993.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​