BRUNEI MUARA, Selasa 25 Okt 2022 – Balai Polis Bandar Seri Begawan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan mengenai insiden kemalangan jalanraya yang melibatkan 3 buah kenderaan dan telah meragut nyawa seorang individu (pemandu).
Insiden tersebut dikongsikan melalui talian kecemasan 993 pada 25 Oktober 2022 sekitar jam 2.37 petang yang berlaku di kawasan Jalan Gadong, Kg Jangsak, Daerah Brunei dan Muara.
Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, salah seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu masih berada di kenderaannya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pihak Bomba dan Penyelamat yang turut hadir di tempat kejadian berusaha dan telah berhasil mengeluarkan mangsa yang didapati tersepit akibat daripada impak kemalangan.
Sejurus dikeluarkan, ahli Paramedik bertugas segera membuat pemeriksaan dan telah mensahkan mangsa berkenaan sudah tidak bernyawa dan meninggal dunia.
Dalam pada itu, 2 pemandu kenderaan lain yang terlibat sama dalam kemalangan tersebut dikejarkan ke Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi rawatan dan pemeriksaan lanjut dan ketika ini dalam keadaan stabil dan selamat.
Hasil siasatan Pihak Polis mendapati, mangsa yang maut (pemandu) merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 31 tahun dan dipercayai dalam perjalanan untuk bekerja.
Menerusi insiden kemalangan ini, pihak polis masih lagi membuat penyiasatan rapi bagi mengetahui akan punca sebenar kemalangan berlaku.
Di kesempatan ini, PPDB menegaskan kepada orang ramai terutama pengguna-pengguna jalanraya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, menitikberatkan aspek keselamatan yang melibatkan kawalan had laju, pemakaian tali pinggang keselamatan, sentiasa peka dan juga menanamkan sifat bertolak ansur.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
