MUARA, Selasa 25 Okt 2022 – Polis Marin Pasukan Polis Diraja Brunei (POLMAR PPDB) dan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) telah memulakan eksesais dua hala iaitu Eksesais Sembilang 16/22 yang dikendalikan selama empat (4) hari bermula pada hari Isnin, 24 Oktober 2022 sehingga hari Khamis, 27 Oktober 2022. 

Eksesais pada tahun ini dianjurkan oleh POLMAR PPDB dan ianya bertujuan untuk meningkatkan dinamik operasi antara kedua-dua agensi keselamatan negara serta memupuk hubungan semangat kerjasama melalui amalan Standard Operating Procedure (SOP). 

Adapun konsep yang diterapkan pada Eksesais Sembilang pada tahun ini adalah untuk memberi tumpuan kepada keselamatan maritim terutamanya dalam menangani Illegal, Unregulated, Unreported Fishing (IUU). 

Terdapat tiga (3) unit yang mengambil bahagian dalam Eksesais Sembilang edisi kali ini iaitu KDB SYAFAAT dan Grup Tindak Permukaan Laut (GTPL) TLDB serta Unit Operasi Khas (UOK) POLMAR PPDB. 

Eksesais Sembilang 16/22 ini juga akan dijalankan dalam 3 fasa: fasa pangkalan, fasa laut dan fasa penutup. Fasa pangkalan akan dijalankan selama dua hari dimana pelbagai latihan seperti latihan plottex, sesi simposium, perbincangan operasi, serta bengkel compliant boarding dan penggeledahan yang diselaraskan oleh GPTL. 

Bagi sesi simposium tahun ini, ia disampaikan oleh tiga agensi iaitu Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perikanan dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam. 

Majlis pembukaan rasmi Eksesais SEMBILANG 16/22 telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Gerakan PPDB, Penguasa Kanan Polis (Snr.Supt) Matusin bin Haji Jumat yang telah berlangsung di Bilik Tenang, Ibu Pejabat POLMAR PPDB. 

Di antara yang hadir dalam majlis tersebut ialah Pemerintah Armada TLDB, Kepten (L) Khairil Haji Abdul Rahman, Pemangku Pegawai Pemerintah POLMAR PPDB, DSP Kasnol bin Haji Mohammad Kincho, Pegawai Pemerintah KDB SYAFAAT, Leftenan Komander Nazurah binti Haji Mahaleh, serta pegawai-pegawai dari TLDB dan POLMAR. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​