TUTONG, Ahad 23 Okt 2022 – Bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan dengan berkesan, kolaborasi antara agensi penguatkuasa undang-undang di negara ini telah mengadakan satu Operasi Sepadu yang mensasarkan ke beberapa lokasi rumah kediaman di kawasan tadahan Daerah Tutong. 

Operasi Sepadu yang dikendalikan pada malam 21 Oktober 2022 itu melibatkan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Daerah Polis Tutong, Balai Polis Tutong, Balai Polis Lamunin Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) serta Biro Kawalan Narkotik (BKN) yang diketuai oleh Pegawai Siasatan Jenayah Daerah Polis Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pg Hj Mohamad Syahmi Azra bin Pg Hj Rajid. 

Sebanyak 3 buah rumah kediaman telah menjadi lokasi sasaran operasi sepadu berkenaan iaitu kawasan Kg Lamunin, Kg Menengah dan juga Kg Rambai. 

Hasil daripada pemeriksaan daripada lokasi sasaran telah menemukan sejumlah barang-barang tegahan berupa rokok. 

Kesemua barangan telah dirampas dan suspek akan berdepan dengan kesalahan dibawah seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006. 

Operasi pada malam tersebut adalah usaha berterusan agensi penguatkuasa undang-undang di Daerah Tutong dalam sama-sama mengambil tindakan yang serius dalam objektif utama membenteras jenayah dan kegiatan yang menyalahi undang-undang di Negara Brunei Darussalam. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​