MUARA, Ahad 23 Okt 2022 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan satu kejadian kemalangan jalan raya telah berlaku semalam dan telah meragut nyawa seorang penumpang lelaki. 

Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei telah menerima panggilan kecemasan tersebut melalui talian kecemasan 993 pada 22 Oktober 2022 sekitar jam 7.28 malam semalam berhubung satu kejadian kemalangan maut yang berlaku di kawasan Lebuhraya Muara – Tutong, Kg Tanah Jambu, Daerah Brunei Muara. 

Sejurus maklumat diterima, pihak polis segera ke tempat kejadian bagi pengesahan siasatan. Hasil daripada siasatan awal mendapati insiden berkenaan telah melibatkan kemalangan sendiri dan seorang penumpang telah ditemui terlantar di atas pemukaan jalanraya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Ahli paramedik bertugas yang hadir membuat pemeriksaan turut mengesahkan bahawa penumpang sudah tidak bernyawa dan dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian. 

Manakala, pemandu pula segera dikejarkan ke Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan bagi rawatan segera kerana mengalami kecederaan dan ketika ini dalam keadaan stabil dan sedang dirawat bagi pemantauan. 

Siasatan masih lagi dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan. 

Oleh yang demikian, dipohonkan kepada orang ramai dan saksi mata yang telah menyaksikan insiden kemalangan berkenaan untuk tampil ke mana-mana balai polis ataupun menghubungi talian kecemasan polis 993 bagi membantu siasatan. 

Di kesempatan ini, PPDB ingin menasihati kepada pengguna-pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu dan sentiasa menitikberatkan aspek-aspek keselamatan semasa berada di jalan raya. 

Jangan memandu laju melebihi had yang dibenarkan dan hendaklah sentiasa memakai tali pinggang keledar bagi tujuan keselamatan serta mengurangkan impak kecederaan jika terlibat dengan sebarang kemalangan.​

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​