GADONG, Khamis 20 Okt 2022 – Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan satu majlis ceramah ugama bersempena menyambut Maulud Nabi Muhammad S.A.W yang telah diadakan di Surau Polis Gadong, PPDB pada petang khamis 20 Oktober 2022. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB. Turut hadir para pengarah-pengarah, Penguasa Polis (SUPT) Yang Mulia Mohamad Amirruddin bin Haji Tunjang selaku Pengerusi Badan Ugama Islam (BUI), pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, keanggotaan dan kakitangan awam PPDB. 

Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar. 

Majlis kemudian diteruskan dengan ceramah bertajuk ‘Cara-cara Memperolehi Syafaat Baginda Rasulullah S.A.W’ yang disampaikan oleh penceramah undangan Dr Ustaz Haji Harapandi Bin Dahri, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan Sultan. 

Intipati ceramah menyingkap akan peranan umat islam agar sentiasa mengingati Baginda pada setiap masa dengan memperbanyakkan amalan selawat serta beramal dengan sunnahnya. 

Ini sangat penting kerana di Padang Mahsyar kelak, Rasulullah SAW akan menjadi tumpuan seluruh umat manusia untuk mendapatkan syafaat daripadanya. Ini kerana manusia ketika itu berada dalam kebingungan dan ketakutan. Maka, mereka akan mencari orang yang dapat membela mereka di hadapan Allah S.W.T. 

Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Saidul Istighfar.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​