BRUNEI MUARA, Selasa 18 Okt 2022 – Dua orang wanita (suspek) telah berjaya diberkas oleh keanggotaan daripada Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai terlibat dalam menjalankan aktiviti yang tidak bermoral.
Serbuan yang dijalankan pada 18 Oktober 2022 sekitar waktu petang itu mensasarkan ke dua buah bilik hotel penginapan di kawasan Bandar Seri Begawan, di mana suspek adalah merupakan wanita warganegara asing berumur 34 tahun dan 44 tahun dipercayai menjalankan aktiviti menawarkan khidmat seks.
Pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian juga telah menemukan beberapa barangan bukti seperti telefon bimbit, wang tunai, kepingan kondom serta minyak pelincir di lokasi kejadian dipercayai bertujuan untuk kegiatan berkenaan.
Suspek ditahan bersama bahan bukti yang ditemukan dan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi siasatan lanjut.
Kes ini di siasat bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman jenayah Penggal 22.
Pihak polis ingin menyarankan kepada orang ramai agar sentiasa bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta boleh disalurkan melalui e-mel laman sesawang PPDB www.police.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
