BRUNEI MUARA, Jumaat 14 Okt 2022 – Hasil daripada maklumat risikan yang diperolehi, Satu Operasi Sepadu mengejut telah diaktifkan semalam, melibatkan pegawai dan keanggotaan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), berikutan laporan mengenai sebuah rumah kediaman di kawasan Kg Kulapis, Jalan Tutong dipercayai ada mengadakan aktiviti bunyi-bunyian dan juga perhimpunan ramai. 

Serbuan yang dijalankan pada 14 Oktober 2022 sekitar jam 2.30 pagi itu telah merampas beberapa peralatan alat musik serta menemukan sejumlah botol dan tin-tin barang tegahan berupa minuman keras pelbagai jenama. 

Dalam pada itu, 2 orang individu terdiri daripada pemilik rumah kediaman dan pemilik alat musik turut ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sengkurong bagi menjalani siasatan. 

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 18 (2) Akta Hiburan Awam Penggal 181 dan Seksyen 146 Perintah Eksais, 2006. 

Operasi-operasi sedemikian akan kerap dijalankan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat awam mengenai undang-undang dan peraturan-peraturan di Negara Brunei Darussalam. 

Di samping itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menegaskan dan menasihati kepada masyarakat awam agar dapat melaporkan apa jua kegiatan yang mencurigakan yang berlaku di kawasan persekitaran kediaman mereka kepada Balai-Balai yang berdekatan atau ke talian kecemasan 993. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI