GADONG, Ahad 9 Okt 2022 – Bersempena dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1444H, Badan Ugama Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) telah menganjurkan majlis ceramah motivasi pada 9 Oktober 2022 bertempat di Surau Polis Gadong, Pasukan Polis Diraja Brunei.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman selaku Yang Dipertua PEKERTI beserta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI daripada 7 cawangan PEKERTI di seluruh negara.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diteruskan dengan ceramah motivasi yang bertajuk “Niyyah” yang disampaikan oleh pakar motivasi undangan daripada Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri iaitu Yang Mulia Hajah Sharifah Khadijah binti Husein Alkaff.
Antara lain intipati ceramah berkenaan menyingkap mengenai keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh terbaik serta aspek kepentingan niyyah atau niat didalam menjalani kehidupan seharian.
Sebagai umat islam juga adalah disarankan untuk sentiasa berselawat sebanyak mungkin sepertimana yang Diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa yang bershalawat ke atasku di waktu pagi sebanyak sepuluh kali dan di waktu petang sebanyak sepuluh kali, ia mendapat syafa‘atku pada hari kiamat.” (Hadis riwayat ath-Thabarani).
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
