GADONG, Khamis 22 Sep 2022 – Pada Menjunjung Titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai lima belas (15) orang pegawai polis telah dinaikkan pangkat yang berkuatkuasa bermula pada 17 September 2022.
Majlis yang diadakan di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) itu telah dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali bersama Pengiran Datin.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin bersama Datin, pengarah-pengarah dan timbalan pengarah jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan ahli keluarga pegawai yang diraikan.
Pegawai-pegawai PPBD itu terdiri dari seorang pegawai dinaikkan pangkat ke Penolong Pesuruhjaya Polis (Assistant Commissioner of Police), empat pegawai dinaikkan pangkat ke Penguasa Kanan Polis (Senior Superintendent of Police), lapan pegawai dinaikkan pangkat ke Penguasa Polis (Superintendent of Police) dan dua pegawai dinaikkan pangkat ke Timbalan Penguasa Polis (Deputy Superintendent of Police).
Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong APO Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
