TUTONG, Ahad 4 Sep 2022 – Semalam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu Operasi Sepadu bersama agensi Penguatkuasa Undang-undang yang melibatkan pegawai dan keanggotaan dari Daerah Polis Tutong PPDB, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) di beberapa kawasan perumahan perpindahan Bukit Beruang, Daerah Tutong. 

Serbuan berkenaan telah dikendalikan pada 3 September 2022 sekitar waktu malam yang diketuai oleh Pegawai Siasatan Jenayah Daerah Polis Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pg Hj Mohamad Syahmi Azra bin Pg Hj Rajid. 

Sasaran operasi tertumpu di tiga (3) lokasi berasingan dengan membuat pemeriksaan secara mengejut terhadap rumah-rumah kediaman yang dipercayai ada menjalankan kegiatan serta memiliki barang-barang tegahan yang bersalahan dengan undang-undang di negara ini. 

Hasil daripada operasi berkenaan telah berhasil membuat penahanan ke atas 3 orang suspek iaitu 2 orang lelaki dan seorang perempuan warganegara tempatan dan turut menemukan beberapa jumlah katon rokok dan juga pelbagai jenama minuman keras. 

Melalui penemuan berkenaan, kesemua suspek dan barang rampasan telah diserahkan ke pihak JKED dan BPU bagi siasatan dan tindakan lanjut. 

Operasi seperti ini adalah usaha berterusan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang di Daerah Tutong dalam misi membanteras dan membendung sebarang kegiatan yang berbaur jenayah di daerah ini. 

Di samping objektif utama iaitu bagi menanamkan rasa selamat dan kehidupan yang sejahtera kepada para penduduk yang tinggal di kawasan kediaman dan persekitaran kampung.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​