BRUNEI MUARA, Khamis 1 Sep 2022 – Dua orang lelaki warganegara tempatan maut setelah terlibat dengan satu insiden kemalangan jalanraya yang berlaku di kawasan Lebuhraya Katok hala ke Beribi.
Pihak polis menerima panggilan kecemasan tersebut pada 1 September 2022 sekitar jam 3.27 petang memaklumkan mengenai satu kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan.
Sejurus maklumat diterima, Balai Polis Bandar Seri Begawan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.
Hasil daripada siasatan awal, seramai 6 orang mangsa kemalangan terlibat dimana dua daripadanya telah maut dipercayai akibat daripada impak rempuhan kenderaan dan penghadang jalan.
Kesemua mangsa kemalangan segera dikejarkan Rumah Sakit RIPAS, Bandar Seri Begawan bagi rawatan kesihatan dan siasatan lanjut. Pada ketika ini pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca kejadian sebenar.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menegaskan kepada para pengguna jalanraya agar sentiasa peka akan had kelajuan yang dipandu dan sentiasa fokus dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap jalanraya dan kawasan persekitaran.
Di samping itu, usaha akan sentiasa dikerah bagi memastikan kesedaran sentiasa dipupuk kepada orang ramai terhadap kepentingan menjaga keselamatan semasa pemanduan bagi mengelak daripada kecuaian yang berpunca daripada pemandu sendiri.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
