BRUNEI MUARA, Isnin 29 Ogos 2022 – Enam (6) orang individu melibatkan warganegara asing dan penduduk tetap ditahan pihak polis kerana terlibat dengan kegiatan perjudian di sebuah rumah kediaman di kawasan Kg Kiarong pada 29 Ogos 2022 sekitar jam 4 petang.
Serbuan ke atas perjudian tersebut telah dijalankan oleh keanggotaan daripada Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei.
Semasa serbuan dijalankan telah menyaksikan 5 orang suspek lelaki dan seorang suspek wanita berumur sekitar 37 hingga 55 tahun tersentak lalu cuba untuk melarikan diri bila mana keanggotaan unit berkenaan meluru masuk ke dalam rumah berkenaan. Kegiatan perjudian yang dijalankan di kawasan ruang tamu rumah berjaya dikawal dan kesemua suspek berhasil ditahan sepenuhnya.
Hasil daripada siasatan awal mendapati, kegiatan judi yang dijalankan adalah dengan menggunakan mesin-mesin simulasi perjudian yang ditemukan sebanyak 7 unit mesin di dalam rumah berkenaan.
Kesemua suspek beserta barang rampasan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi menjalani siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.
Pasukan Polis Diraja Brunei menegaskan kegiatan judi merupakan racun masyarakat yang perlu dibendung dengan sewajarnya. Implikasi terhadap kegiatan ini merangsang kepada pengaruh yang sangat negatif sehingga boleh merosakkan institusi masa depan diri sendiri mahupun kehidupan berkeluarga.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
