TEMBURONG, Khamis 25 Ogos 2022 – Strategi rondaan dan pemantauan jenayah yang berterusan keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) membuahkan hasil bilamana percubaan untuk membawa masuk barangan tegahan berjaya digagalkan pada 25 Ogos 2022. 

Kegiatan berkenaan terbongkar apabila sebuah kenderaan yang melalui di kawasan Pekan Bangar nampak dalam keadaan mencurigakan dan pihak polis segera mengejar bagi menjalani siasatan awal. 

 Kenderaan bersama pemandu dan penumpang berjaya ditemui di kawasan ladang kopi Kg Negalang, Daerah Temburong. Siasatan dijalankan ke atas kenderaan berkenaan dan telah menemukan beberapa kotak plastik hitam dipercayai barang tegahan iaitu minuman keras. 

 Seterusnya kenderaan, penemuan barang-barang mencurigakan serta dua (2) orang suspek dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan awal dan kes ini diambil alih siasatannya oleh Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi siasatan lanjut. 

Hasil daripada pemeriksaan telah menemukan sejumlah 300 botol dan 192 tin minuman keras pelbagai jenama. Kedua suspek merupakan lelaki warganegara tempatan dan penduduk tetap berumur dalam lingkungan 20 ke 21 tahun. 

PPDB serta agensi penguatkuasa undang-undang lain akan terus komited menjalankan usaha membanteras, merisik serta membuat pemantauan berterusan ke atas sebarang kegiatan jenayah yang berlaku berhampiran sempadan-sempadan Negara Brunei Darussalam.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI