JUNJONGAN, Rabu 27 Julai 2022 – Peroperasian pihak polis yang berterusan dengan menggerakkan keanggotaan petugas dalam strategi pencegahan jenayah telah membuahkan hasil bilamana sebuah kenderaan beserta 3 individu (suspek) telah berjaya ditahan bagi menjalani siasatan. 

Insiden berkenaan berlaku pada 26 Julai 2022 sekitar jam 4.40 petang semasa rondaan yang dikendalikan oleh keanggotaan Polis Simpanan ‘C’ Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan kebun, persimpangan Kg Junjongan, Daerah Brunei Muara. 

Semasa pemeriksaan oleh keanggotaan bertugas telah menemukan sebanyak 16 bungkusan kotak hitam di dalam kenderaan suspek yang dipercayai barang-barang tegahan. Setelah pemeriksaan lanjut dijalankan bungkusan tersebut mengandungi sebanyak 384 botol minuman keras pelbagai jenama. 

Kesemua penemuan barangan tegahan dirampas manakala kenderaan dan juga ketiga-tiga suspek dibawa ke Balai Polis Limau Manis, PPDB bagi siasatan awal dan kemudiannya diserahkan kertas penyiasatan kepada JKED bagi tindakan selanjutnya. 

Ketiga-tiga suspek adalah lelaki, dua daripadanya warganegara tempatan dan seorang lagi adalah warga asing. 

PPDB akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dari masa ke semasa bagi tujuan pembenterasan kegiatan-kegiatan jenayah terutama sekali barangan tegahan yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara seludup. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan-kegiatan sedemikian agar dapat berkongsi sama dengan menyalurkan terus melalui talian kecemasan polis 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI