TUTONG, Sabtu 23 Julai 2022 – Sebanyak 14 bungkusan kotak mengandungi bunga api dan mercun pelbagai jenis telah dirampas oleh keanggotaan Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bertempat di kawasan Gerai Perayaan, Daerah Tutong. 

Insiden berkenaan yang berlaku pada 23 Julai 2022 itu, turut menahan seorang wanita penduduk tetap (suspek) berumur 58 tahun dipercayai terlibat dengan aktiviti penjualan barang tegahan tersebut. 

Ketika pemeriksaan dijalankan, pihak polis telah menemukan sejumlah bungkusan kotak-kotak dipercayai berisi barangan mercun sedang dijual oleh suspek dan kemudiannya menemukan lagi barang-barang mercun yang lain ada disimpan di dalam gerai berkenaan. 

Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tutong bagi siasatan lanjut. 

Barang-barang bunga api dan mercun yang dirampas; 

• 1 kotak Magic Pop x 25 paket 

• 1 kotak Jumbo Pop-Pop x 24 paket 

• 1 kotak Jumbo Pop-Pop yang kosong 

• 11 biji mercun bulat berwarna hijau dan coklat 

• 1 kotak Glow of Sunset x 110 tangkai 

• 2 kotak Glow of Sunset x 100 tangkai 

• 4 kotak Magic Pop x 50 paket 

• 2 kotak Jumbo Pop-Pop x 50 paket 

• 2 kotak Colour Flower x 20 paket 

Kes ini disiasat di bawah Akta Senjata Api dan Bahan Letupan penggal 58. 

Di kesempatan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan akan larangan tersebut kerana ianya menjurus kepada kemaslahatan orang awam kerana jika ianya diingkari maka boleh mengundang bahaya kepada bukan sahaja mereka yang bermain tetapi juga kepada orang lain seperti kecederaan kepada tubuh badan, kerosakan kepada harta benda dan kebakaran. 

Oleh itu, diingatkan dan ditekankan kepada orang ramai sepertimana Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Negara Brunei Darussalam, Penggal 58 iaitu sekatan mengimport mercun, bunga api dan sebagainya menyebutkan sesiapa sahaja tidak boleh mengimport, membuat, menjual atau memiliki apa-apa mercun atau bunga api atau yang mengandungi bahan letupan atau campuran bahan letupan. 

Sesiapa yang didapati melanggar undang-undang tersebut boleh didakwa dan dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta hukuman tiga kali sebatan dan tidak melebihi 12 kali sebatan.

Manakala bagi hukuman mengikut Peraturan 17 (2), Akta Senjata Api dan Bahan Letupan menyatakan mana-mana orang yang melanggar Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan adalah bersalah kerana melakukan satu kesalahan dan jika sabit akan dikenakan denda $3,000. 

Sementara mengikut Seksyen 6, Undang-undang Kesalahan Kecil, Penggal 30 menyatakan mana-mana orang yang menyalakan atau membakar apa-apa bahan api hingga menyebabkan gangguan, kesulitan atau menimbulkan bahaya kepada orang awam, atau melepaskan apa-apa belon api atau roket di mana-mana jalan awam adalah bersalah dan boleh dihukum denda $250.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI