TUTONG, Khamis 21 Julai 2022 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Daerah-Daerah Polis sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani dan sekaligus membenteras sebarang aktiviti-aktiviti jenayah yang berkaitan dengan pelanggaran peruntukan undang-undang di negara ini. Antara lain strategi pencegahan jenayah yang aktif dijalankan ialah melalui operasi-operasi sekatan jalanraya.
Selain daripada mengesan kesalahan-kesalahan berkaitan lalulintas dan jenayah ianya juga berkesan dalam memberikan pendidikan dan kesedaran terhadap kesemua pengguna jalanraya akan pentingnya mematuhi akta-akta yang telah diperuntukan bagi tujuan kebaikan dan kemaslahatan penduduk dan rakyat di negara ini.
Dalam pada itu, satu operasi sekatan jalanraya yang melibatkan Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah dikendalikan pada 21 Julai 2022 bertempat di kawasan lebuhraya Telisai / Tutong hala ke Tutong.
Hasil daripada operasi berkenaan telah menemukan sejumlah kesalahan seperti berikut;
PPDB : 32 kesalahan kompaun dikeluarkan melibatkan kesalahan memasang tabir atau pelekat plastik filem, menggunakan kenderaan persendirian untuk tujuan perniagaan tanpa permit, memasang / menukar lampu kenderaan, tidak memakai tali pinggang keselamatan dan beberapa kesalahan lagi.
JPD – 17 kesalahan kompaun dikeluarkan kepada pemandu melibatkan kesalahan seperti pasir lebih muatan, mengubah suai kenderaan daripada asal, tidak membawa sijil kelayakan kenderaan dan beberapa kesalahan lagi.
Operasi sebegini akan sentiasa dijalankan dan pertingkatkan bagi memberikan kesedaran kepada pengguna jalanraya akan kepentingan peraturan lalulintas serta mendidik para pemandu untuk sentiasa peka dengan kondisi kereta iaitu dalam keadaan baik dan selamat untuk dipandu.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
