GADONG, Sabtu, 30 Mei 2026– Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Badan Ugama Islam (BUI), pagi tadi telah mengadakan Majlis Ibadah Korban PPDB bagi Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi bertempat di Stadium Hassanal Bolkiah, Kompleks Ibu Pejabat PPDB, Gadong.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis bersama Datin, dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohd Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan laungan Takbir Hari Raya yang diketuai oleh APO S/SGT 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar, Imam Surau Polis Gadong, diikuti dengan penyampaian daging korban kepada golongan asnaf yang telah dikenal pasti.
Pada tahun ini, seramai 9 orang peserta telah menyertai ibadah korban yang melibatkan penyembelihan 2 ekor sapi dan 1 kambing. Sebahagian daripada daging korban tersebut telah diagihkan kepada seramai 13 orang Asnaf di bawah Mukim Gadong ‘A’ dan Mukim Gadong ‘B’.


Turut hadir ialah para pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, anggota pangkat rendah serta kakitangan awam PPDB. Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Majlis Ibadah Korban yang diadakan saban tahun ini merupakan antara aktiviti keagamaan yang bertujuan untuk menghayati syiar Islam, memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan warga PPDB serta mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat. Di samping itu, ibadah korban ini juga mencerminkan nilai keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki kepada golongan yang memerlukan, sejajar dengan tuntutan agama Islam.
Sebagai mengingatkan akan kelebihan ibadah korban, Rasulullah S.A.W bersabda :
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari Raya korban yang lebih diredhai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh kebumi, oleh itu elokkan korban kamu”
Hadith Riwayat Tirmizi No. (1493)
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
