BRUNEI MUARA, Sabtu, 16 Mei 2026 – Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan telah menjatuhkan hukuman terhadap seorang lelaki warganegara asing berikutan tangkapan yang dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Siber (BSJS) bersama Daerah Polis Brunei Muara (DPBM) pada 21 April 2026 lalu.
Suspek, Jordan Jong Yueng Boo, 23 tahun, telah ditangkap setelah didapati cuba menerima wang daripada seorang mangsa di tempat awam dengan menyamar sebagai pegawai Brunei Darussalam Central Bank (BDCB). Suspek yang bertindak sebagai “runner” ini merupakan sebahagian daripada sindiket penipuan yang menyamar sebagai wakil institusi kewangan bagi memperdaya mangsa.
Suspek telah mengaku bersalah di hadapan Majistret Syaffina binti Shahif pada 13 Mei 2026 dan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 bulan atas dua pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 kerana menipu serta Seksyen 109 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 kerana bersubahat.
PPDB ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai individu yang mendakwa mewakili agensi kerajaan atau institusi kewangan, khususnya yang melibatkan urusan kewangan dan pemindahan wang. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terlibat atau membantu mana-mana aktiviti yang menyalahi undang-undang kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
