GADONG, Rabu 13 Julai 2022 – Badan Ugama Islam (BUI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) juga tidak ketinggalan mengungkayahkan Majlis Ibadah Korban PPDB sempena Hari Raya Aidiadha bagi Tahun 1443 Hijrah / 2022 Masihi yang berlangsung di Surau Polis Gadong, Pasukan Polis Diraja Brunei petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pengagihan daging-daging korban pada majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis (CP) PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) PPDB, Yang Mulia Awang Sulaiman bin Alidin, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mohamad Amirruddin bin Haji Tunjang selaku Pengerusi BUI, para pengarah dan timbalan pengarah jabatan, ketua-ketua formasi, pegawai pemerintah, pegawai-pegawai kanan serta anggota dan warga kakitangan awam PPDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Takbir Hari Raya dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar dan kemudiannya diteruskan dengan pengagihan daging-daging korban oleh tetamu kehormat kepada para penerima. Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Selamat serta solat asar berjemaah.
Pada tahun ini, seramai 56 orang peserta menyertai ibadah korban yang melibatkan sebanyak 8 ekor kerbau dikorbankan.
Majlis Ibadah Korban ini memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihi Salam dapat mengasuh dan mendidik diri untuk bersikap sabar terhadap apa jua ujian yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dalam kehidupan, tidak mudah mengeluh dan tetap menyerah dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Ketahuilah, apa pun jua keadaan dan musibah yang berlaku, semuanya itu adalah ketentuan dan ketetapan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
