BRUNEI MUARA, Isnin 4 Julai 2022 – Satu gerakan gabungan operasi sepadu (Taskforce) melibatkan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang telah ditubuhkan, bertujuan bagi menangani sebarang aktiviti-aktiviti yang berbaur jenayah serta yang melanggar peraturan undang-undang di negara ini. 

Operasi taskforce iaitu jawatankuasa di bawah Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dilaksanakan bersama agensi lain seperti Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Jabatan Buruh (LED) serta daripada Jabatan Daerah Brunei dan Muara yang dikendalikan pada 3 Julai 2022. 

Beberapa lokasi di kawasan Daerah Brunei Muara telah dikenal pasti dan tumpuan utama adalah dijalankan di sekitar Kampung Burung Pingai Ayer dan Kampung Sungai Asam bagi operasi pencegahan jenayah manakala operasi sekatan lalulintas turut dikendalikan di kawasan persimpangan 4 Jalan Kasat dan Jalan Lumapas, Daerah Brunei Muara. 

Hasil daripada pemeriksaan dan operasi yang dijalankan telah menemukan beberapa kesalahan yang melibatkan barangan tegahan serta membuat penahanan ke atas beberapa individu bagi siasatan lanjut. 

Operasi pemeriksaan rumah:- 

PPDB : 2 orang telah ditahan dengan penemuan 4 laras senjata dipercayai senjata api buatan sendiri dan 1 laras senjata yang belum siap. 

BKN : 3 orang ditahan kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah. 

Operasi sekatan lalulintas:- 

BKN : 1 orang ditahan kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah. 

JIPK : 14 orang lelaki warganegara asing ditahan atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen pasport asal, dipercayai pekerja syarikat yang bermasalah serta tersenarai dalam pekerja lari dari majikan. Kesemua tahanan dan barang rampasan dibawa ke jabatan masing-masing bagi tindakan lanjut. 

Agensi-agensi penguatkuasa akan sentiasa teguh terhadap penekanan undang-undang di negara ini dalam matlamat yang utama iaitu bersama membendung, mengesan serta membanteras kegiatan-kegiatan yang cuba untuk meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan mahupun keamanan di negara ini. 

PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai akan sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam 2 perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI