TUTONG, Sabtu 2 Julai 2022 – Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan mengenai kemalangan tiga (3) buah kenderaan yang berlaku di kawasan Kg Kupang, Daerah Tutong.
Kejadian yang berlaku pada 30 Jun 2022 sekitar jam 11.45 pagi itu telah meragut nyawa seorang lelaki warganegara asing berumur 38 tahun dipercayai akibat daripada rempuhan kemalangan.
Hasil daripada siasatan awal, sebuah kenderaan lori yang sedang membuat perjalanan daripada Tutong menghala ke Bandar Seri Begawan (BSB) telah dirempuh oleh sebuah kenderaan yang dipandu oleh mangsa (meninggal dunia) yang sedang dalam perjalanan daripada BSB ke Tutong.
Siasatan yang dijalankan mendapati mangsa yang maut sebelum itu telah mengambil tindakan dengan memotong beberapa buah kenderaan yang berada di hadapan mangsa dan setelah itu didapati merempuh sebuah lori dalam hala bertentangan lalu terpusing dan mengakibatkan sebuah kenderaan yang berada di belakang mangsa yang maut turut terlibat dalam insiden kemalangan tersebut.
Akibat daripada impak kemalangan tersebut, mangsa yang maut telah ditemui berada di atas rumput dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai telah terhumban keluar daripada kenderaannya.
Mangsa yang maut disahkan meninggal dunia oleh ahli paramedik bertugas yang turut hadir di tempat kejadian bersama ahli-ahli daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Manakala dua (2) pemandu lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut telah dibawa ke Rumah Sakit Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong bagi rawatan awal pemeriksaan kesihatan dan kemudiannya di alih rawatan ke Rumah Sakit RIPAS, BSB bagi pemantauan lanjut.
Hasil daripada keputusan Pihak Hospital mengesahkan punca kematian adalah disebabkan oleh pelbagai kecederaan traumatik dan punca kemalangan masih lagi dalam siasatan pihak polis.
PPDB ingin mengingatkan kepada pengguna-pengguna jalanraya agar sentiasa berhati-hati dan sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan pemanduan, terutama sekali aspek kawalan had laju, penglihatan yang jelas, sentiasa bersikap tolak ansur, lebih-lebih lagi pemanduan semasa dalam laluan satu hala.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
