SERIA, Rabu 29 Jun 2022 – Satu kejadian langgar lari telah dilaporkan kepada pihak polis pada 29 Jun 2022 sekitar jam 1.59 petang di kawasan laluan pejalan kaki, Pekan Seria, Daerah Belait. 

Sejurus maklumat diterima, keanggotaan Balai Polis Seria, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera menjalankan siasatan dan mendapati insiden tersebut adalah dipercayai melibatkan kemalangan sebuah kenderaan dan pejalan kaki. 

Siasatan turut mendapati, kenderaan suspek dipercayai telah merempuh dua orang pejalan kaki (mangsa) yang sedang melintasi laluan lintasan pejalan kaki (zebra crossing) kemudian melarikan diri. 

Berikutan kejadian tersebut, siasatan secara terperinci telah dijalankan dan memohon kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan (saksi mata) agar dapat tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi ke talian kecemasan 993 bagi mengongsikan sebarang maklumat mengenai kenderaan suspek yang masih dalam pencarian pihak polis. 

Dalam pada itu, sepertimana insiden sedemikian, suspek boleh didakwa di bawah; 

1- Seksyen 31 Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68 – Kegagalan pemandu kenderaan memberikan bantuan kepada orang yang tercedera dan jika sabit tertuduh akan dihukum penjara selama satu (1) tahun beserta denda sebanyak $8000 ringgit. 

2 – Seksyen 33(6) Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68 – Gagal untuk berhenti dan memberikan bantuan. 

3- Seksyen 33 (7) Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68 – Gagal untuk berhenti dan memberikan bantuan hasil daripada kemalangan serta mengakibatkan kejadian parah ataupun kematian. Jika sabit kesalahan tertuduh akan dihukum penjara selama 12 bulan beserta denda sebanyak $3000 ringgit.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI