KUALA BELAIT, Ahad 26 Jun 2022 – Pasukan Polis Diraja Brunei mengesahkan telah menerima laporan kes penemuan seorang individu terdampar di kawasan Pantai Tanjung Batu, Jalan Maulana, Kuala Belait pada 25 Jun 2022 sekitar jam 5.45 petang semalam.
Bertindak di atas laporan tersebut, Pegawai Penyiasat Jenayah Balai Polis Kuala Belait telah menyiasat ke tempat kejadian dan mendapati seorang wanita warganegara tempatan berumur 30 tahun (mangsa) didapati telah terdampar di persisiran pantai dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Para saksi iaitu pengunjung pantai yang berada di tempat kejadian telah membantu mangsa yang tidak sedarkan diri keluar dari kawasan air dan membawa ke kawasan darat.
Mangsa kemudian berjaya sedarkan diri setelah usaha bantuan menyelamat diberikan oleh para saksi kepada si mangsa.
Mangsa lalu dibawa ke Rumah Sakit Suri Seri Begawan Kuala Belait bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan hasil pemeriksaan pihak doktor, mangsa dalam keadaan stabil dan akan ditahan di rumah sakit bagi tujuan pemantauan kesihatan selanjutnya.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis. Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihati orang ramai jika terdapat perubahan tingkah laku terhadap keluarga seperti berdiam diri, kelihatan sedih, tertekan atau gelisah untuk segera mendapatkan khidmat bantuan kepada mana-mana pihak yang berwajib.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
