BRUNEI MUARA, Jumaat 10 Jun 2022 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sentiasa cenderung dan aktif dalam menggerakkan keanggotaan serta keahlian mereka dalam tugasan-tugasan pembenterasan, pencegahan dan penahanan ke atas sebarang perilaku dan kegiatan yang menyalahi undang-undang. 

Ini adalah bertujuan bagi menguatkuasakan peruntukan perundangan yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan Negara Brunei Darussalam sentiasa terjamin akan keamanan dan kesejahteraannya. 

Terkini, dua operasi sekatan jalanraya telah dikendalikan oleh pegawai dan anggota daripada Balai Polis Sengkurong dan Balai Polis Bandar Seri Begawan. 

Operasi pertama telah dijalankan oleh Balai Polis Sengkurong pada 9 Jun 2022 diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Sengkurong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pg Mohd Hafizan bin Pg Dato Paduka Maun. Sebanyak 16 kesalahan kompaun telah berhasil dikeluarkan menumpukan kepada pemandu-pemandu yang tidak mematuhi papan-papan tanda larangan ‘No Entry dan No U-Turn’ di laluan keluar premis perniagaan Kg Sengkurong. 

Manakala, Operasi kedua telah dikendalikan oleh Balai Polis Bandar Seri Begawan pada 10 Jun 2022 di kawasan Jalan Tasek hala ke Pusat Bandar. Operasi tersebut diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Bandar Seri Begawan, Inspektor Pg Mohd Noorhasni bin Pg Hj Omar. 

Sebanyak 550 buah kenderaan telah diperiksa dan berhasil mengeluarkan 15 tindakan kompaun kepada para pemandu yang melanggar Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68 iaitu cukai jalan mansuh, lampu belakang kenderaan tidak menyala, tidak memiliki lesen memandu dan beberapa kesalahan lagi. 

Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Daerah Polis Brunei Muara akan terus mempelbagaikan lagi langkah-langkah penguatkuasaan undang-undang dan peraturan lalulintas dalam menyahut hasrat kerajaan untuk menjadikan jalanraya di negara ini lebih selamat bagi semua pengguna di samping mengekang semua bentuk alternatif bagi sebarang perancangan aktiviti-aktiviti jenayah.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI