TUTONG, Selasa 7 Jun 2022 – Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil menahan seorang individu (suspek) dipercayai terlibat dengan kejadian curi barangan rumah bertempat di Kampong Telisai, Daerah Tutong.
Aduan berkenaan diterima pada 6 Jun 2022 di Balai Polis Tutong menyatakan barangan di rumah pengadu yang sedang dalam pembinaan telah didapati hilang dipercayai dicuri.
Siasatan telah dijalankan oleh keanggotaan detektif Balai Polis Tutong dan berjaya menahan seorang suspek lelaki warganegara tempatan berumur 28 di rumah suspek. Pemeriksaan terus dijalankan dan telah menemukan barang-barang bukti dipercayai milik pengadu.
Suspek dan kesemua barang bukti dibawa ke Balai Polis Tutong bagi siasatan lanjut. Suspek juga bakal berdepan dengan beberapa pertuduhan di bawah seksyen 380 dan 427 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu curi dan rosak barang.
PPDB akan sentiasa berusaha dalam menjalankan pemantauan, menjejak dan mengesan sebarang kegiatan-kegiatan jenayah di samping membuat penangkapan ke atas penjenayah-penjenayah yang berhasrat untuk mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan di Negara Brunei Darussalam.
Sokongan masyarakat adalah diharapkan agar sentiasa berterusan memberikan kerjasama dalam kepercayaan serta perkongsian maklumat bagi memastikan negara ini bebas daripada segala bentuk aktiviti negatif dan gejala-gejala jenayah.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
