LAMUNIN, Selasa 31 Mei 2022 – Sebanyak 350 buah kenderaan telah diperiksa oleh pihak penguatkuasa undang-undang semasa Operasi Sepadu Sekatan Jalanraya yang dikendalikan semalam 30 Mei 2022 di kawasan persimpangan jalan Kg Lamunin, Daerah Tutong. 

Operasi sepadu berkenaan melibatkan pegawai dan keanggotaan daripada Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) beserta kerjasama daripada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan juga Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) yang diketuai oleh Pegawai Siasatan Lalulintas Daerah Polis Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Ivy Han. 

Hasil daripada operasi tersebut telah mencatatkan sebanyak 37 kes secara keseluruhan berdasarkan pelanggaran di bawah akta penguatkuasaan masing-masing. 

PPDB : 5 doket dan 15 kesalahan kompaun dikeluarkan kepada pemandu melibatkan kesalahan kenderaan tidak dilindungi insuran, lesen kenderaan mansuh, lesen memandu mansuh dan beberapa kesalahan lagi. 

JKED : 5 kesalahan (5 pemandu ditahan) melibatkan penemuan barang tegahan iaitu rokok. 

BKN : 2 kesalahan (penahanan 2 orang suspek) penemuan peralatan dipercayai digunakan bagi penyalahgunaan dadah. 

JPD : 10 kesalahan ditemui melibatkan kesalahan seperti tayar kenderaan botak, membawa muatan lebih, kerusi kenderaan tidak dipasang dan beberapa kesalahan lagi. 

Antara lain tujuan operasi adalah bagi meningkatkan disiplin masyarakat mengenai perundangan serta meningkatkan kepercayaan masyarakat secara positif terhadap agensi penguatkuasa undang-undang dalam melaksanakan tugasan untuk sama-sama mewujudkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI