LIMAU MANIS, Isnin 30 Mei 2022 – Sebanyak 300 katon barang tegahan rokok telah dirampas beserta penahanan seorang individu hasil daripada rondaan Operasi Sepadu Task Force Covid-19 yang dijalankan pada sekitar waktu malam 29 Mei 2022 di kawasan kebun, persimpangan 2302 Kg Junjongan, Daerah Brunei Muara.

Operasi Sepadu berkenaan adalah gabungan keanggotaan melibatkan Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan juga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). 

Semasa rondaan dijalankan, pasukan peronda telah terserempak dengan sebuah kenderaan yang didapati sedang melalui jalan kebun tersebut, kenderaan bersama pemandu segera dibuat pemeriksaan dan telah menemukan dua (2) bungkusan kotak yang besar dan mencurigakan tersimpan di bahagian bonet belakang kenderaan. Bungkusan tersebut lalu diperiksa dan mendapati ianya adalah barang tegahan dipercayai rokok. 

Pasukan peronda juga turut menjalankan pemeriksaan di kawasan sekeliling lokasi berkenaan dan turut menemukan lagi 4 kotak bungkusan dipercayai adalah barang yang sama (barang tegahan rokok). 

Balai Polis Limau Manis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Pihak penguatkuasaan daripada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) segera dihubungi dan telah hadir bagi mengambil tindakan lanjut. 

Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas penemuan kotak tersebut telah mendapati sejumlah 300 katon rokok ditemui didalamnya. Kesemua barang rampasan termasuk penahanan seorang lelaki warga tempatan berumur 46 tahun diserahkan ke pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

PPDB bersama agensi penguatkuasa undang-undang yang lain akan terus memerangi jenayah rentas sempadan sepertinya tanpa ada sebarang kompromi dan berusaha dibenteras hingga ke akar umbi.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI