Khamis, 26 Mei 2022 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Daerah-Daerah Polis, sentiasa cenderung dan aktif dalam menggerakkan keanggotaan mereka dalam tugasan-tugasan keselamatan dan kesejahteraan orang awam. Ini adalah bertujuan untuk menegakkan peruntukan perundangan yang telah dipertanggungjawabkan selaku salah satu peneraju penguatkuasa undang-undang di negara ini.
Antara lain inisiatif yang kerap dijalankan oleh PPDB ialah menguatkuasakan undang-undang Akta Lalulintas Jalanraya di Negara Brunei Darussalam.
BELAIT – Sebanyak 2 lokasi di Daerah Belait telah dijalankan Operasi Sepadu Sekatan Jalanraya melibatkan 2 agensi penguatkuasa undang-undang terdiri daripada pegawai dan anggota daripada Balai Polis Kuala Belait, Balai Polis Panaga, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) pada 25 Mei 2022.
Hasil daripada 2 operasi yang berasingan telah mengeluarkan sejumlah 37 kesalahan kompaun kepada para pemandu melibatkan kesalahan di bawah Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68.
Manakala JKED telah menahan 3 orang individu atas kesalahan di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006 kerana memiliki barang tegahan rokok semasa sekatan jalanraya dijalankan.
TEMBURONG – Di samping itu, Balai Polis Bangar turut menjalankan operasi yang sama pada 21 dan 26 Mei 2022 dan berhasil menemukan 2 kesalahan kompaun melibatkan tidak memiliki lesen memandu kelas 5 dan pengubahsuaian kenderaan di bawah Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68.
Peroperasian sedemikian akan terus berjalan secara berterusan bagi memastikan Negara Brunei Darussalam dan masyarakat awam dalam keadaan aman dan sejahtera.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
