TUTONG, Sabtu 21 Mei 2022 – Seorang wanita warganegara asing (suspek) berumur 49 tahun diberkas Pihak Polis kerana dipercayai telah terlibat dengan aktiviti perjudian 4D loteri di kawasan Kg Lamunin, Daerah Tutong.
Operasi yang dikendalikan oleh keanggotaan detektif Ibu Pejabat Daerah Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada petang 21 Mei 2022 itu telah berhasil menyerbu sebuah kedai jahit yang dipercayai ada menjalankan kegiatan mengutip taruhan perjudian 4 digit loteri.
Dalam pada itu, Pihak polis turut merampas beberapa barang bukti di tempat kejadian iaitu telefon bimbit, kepingan kertas taruhan beserta wang tunai yang dipercayai digunakan untuk aktiviti judi pertaruhan. Kesemua barang bukti beserta suspek dibawa ke Balai Polis Tutong bagi siasatan lanjut.
Kes siasatan ini disiasat di bawah Seksyen 4 (D) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.
Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas maklumat berhubung kegiatan tersebut dan menyarankan kepada orang ramai untuk mengongsikan maklumat apa saja kegiatan-kegiatan yang mencurigakan kepada pihak Polis atau ke talian kecemasan Polis 993.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
