BRUNEI MUARA, Sabtu 23 April 2022 – Pasukan barisan hadapan terutama sekali pihak keselamatan dan penguatkuasaan sentiasa utuh dan tidak kendur-kendur dalam menjalankan tugasan teras bagi mengawal dan memastikan undang-undang sentiasa ditanai dan dipatuhi sepenuhnya. 

Menyahut mengenai perkara tersebut, satu Operasi Sepadu telah dijalankan semalam diketuai oleh Penolong Penguasa Polis (ASP) Muhammad Alif bin Haji Musa yang turut melibatkan Pegawai dan keanggotaan daripada Daerah Polis Brunei dan Muara, Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan daripada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED). 

Operasi Sepadu tersebut telah mensasarkan ke sebuah rumah kediaman yang terletak di kawasan Kg Perpindahan Lambak Kanan, Daerah Brunei Muara kerana dipercayai ada mengadakan aktiviti yang melanggar undang-undang di negara ini. 

Sejurus serbuan dijalankan, pihak penguatkuasa tidak menemukan sebarang penghuni di rumah kediaman berkenaan. Walau bagaimanapun, beberapa barangan tegahan seperti rokok, rokok elektrik beserta peralatannya (vape) dan ubat-ubatan tidak berdaftar telah ditemui dan dirampas oleh pihak JKED bagi siasatan pihak berkenaan. 

Pasukan Polis Diraja Brunei bersama agensi penguatkuasa undang-undang yang berkaitan akan sentiasa proaktif dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan-kawasan panas (hotspot) bertujuan bagi mengekang dan membanteras perilaku ataupun aktiviti yang berbaur jenayah. 

Oleh itu, PPDB memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat yang berkaitan terhadap aktiviti yang menyalahi undang-undang ke talian kecemasan polis 993 atau balai-balai polis berdekatan. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI