TEMBURONG, Selasa 12 April 2022 – 2 orang individu ditahan oleh keanggotaan detektif dan peronda Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana membawa sejumlah bungkusan kotak mencurigakan di dalam kenderaan mereka dipercayai barangan tegahan. 

Insiden tersebut berlaku pada 12 April 2022 sekitar waktu petang bilamana risikan dan pemantauan yang dijalankan membawa kepada penahanan sebuah kenderaan bersama pemandu (suspek) dan penumpang (suspek) di kawasan Jalan Labu berdekatan simpang Kg Tanjung Bungar, Daerah Temburong. 

Sejurus penahanan dan pemeriksaan awal di dalam kenderaan suspek dijalankan menemukan sejumlah 11 kotak plastik disimpan di bahagian tempat duduk penumpang dan bonet belakang kenderaan. Kenderaan serta suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan lanjut. 

Hasil pemeriksaan telah mendapati sebanyak 118 botol dan 48 tin minuman keras pelbagai jenama di dalam kotak-kotak bungkusan berkenaan. Kedua-dua suspek adalah lelaki warganegara tempatan berumur 40 dan 35 tahun. 

Kesemua barang rampasan dan juga suspek diserahkan ke Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) Daerah Temburong bagi siasatan lanjut. 

PPDB akan meningkatkan kekerapan rondaan dan pemeriksaan rambang di kawasan kawalan bagi memastikan negara bebas dari sebarang jenayah yang melibatkan rentas sempadan. 

Di samping itu, PPDB juga mengingatkan kepada masyarakat agar memainkan peranan sewajarnya sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan tampil atau mengongsikan membuat laporan jika mengesan terdapatnya aktiviti dan individu yang mencurigakan di kawasan mereka. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI