BELAIT, Sabtu 2 April 2022 – Seramai 18 orang lelaki ditahan selepas pihak polis menyerbu kegiatan sabung ayam yang dijalankan di kawasan Kg Bukit Puan, Labi, Daerah Belait pada 1 April 2022. Serbuan pada sekitar jam 12.00 tengahari itu adalah hasil kolaborasi daripada keanggotaan detektif Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, Balai Polis Kuala Belait, Seria, Panaga dan juga Balai Polis Sg Liang.
Setiba di lokasi kejadian, didapati sekumpulan kaki sabung sedang berkumpul di kawasan gelanggang sabung ayam dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan. Sejurus menyedari akan kehadiran pihak polis, kesemua kaki sabung lari bertempiaran dengan membawa bersama ayam laga masing-masing.
Turut dirampas ialah 9 ekor ayam, peralatan judi dan wang tunai yang dipercayai digunakan bagi pertaruhan sabung ayam. Kesemua suspek dan barang bukti dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Polis Belait untuk dijalankan siasatan lanjut. Pertuduhan terhadap kesemua suspek dikemukakan di bawah Akta Rumah Perjudian Penggal 28, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sebanyak $10,000 dan 6 bulan penjara.
Dalam pada itu, turut diselitkan pertuduhan terhadap kesalahan menzalimi binatang di bawah Seksyen 25 (1) Akta Kesalahan Kecil Penggal 30, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sebanyak $1,000 atau penjara selama 3 bulan.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa berterusan menjalankan pemantauan dan risikan dalam objektif utama untuk menangani serta membanteras sebarang aktiviti-aktiviti salah yang melanggar akta perundangan di negara ini.
Pasukan Polis Diraja Brunei juga berharap bantuan orang ramai untuk menyalurkan apa jua maklumat yang berunsur kegiatan jenayah melalui talian kecemasan polis 993 atau melaporkan ke Balai-balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
