TEMBURONG, Rabu 30 Mac 2022 – Dua individu warganegara tempatan telah ditahan pihak polis kerana dipercayai cuba untuk menyeludup masuk sejumlah barangan tegahan ke negara ini.
Insiden yang berlaku pada 30 Mac 2022 sekitar jam 10.11 pagi itu, seorang lelaki berumur 46 tahun bersama seorang perempuan berumur 35 tahun ditahan oleh keanggotaan detektif beserta peronda Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana telah didapati memandu dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan Kg Negalang Unat, Daerah Temburong.
Hasil pemeriksaan awal keatas kenderaan yang dipandu telah menemukan sejumlah bungkusan kotak plastik dipercayai barang tegahan iaitu minuman keras yang disorokkan di bahagian belakang kerusi serta di bahagian bonet belakang kenderaan.
Sebanyak 120 botol minuman keras pelbagai jenama telah didapati hasil pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas penemuan bungkusan kotak berkenaan.
Kesemua barang tegahan dirampas dan kedua-dua individu terlibat dibawa Balai Polis Bangar dan seterusnya diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi peralihan sisatan.
PPDB ingin menegaskan kepada orang ramai agar tidak terlibat dan terjerumus dengan apa jua kegiatan jenayah yang mendatangkan impak negatif dalam kehidupan seharian dan agensi penguatkuasa undang-undang akan mengambil tindakan yang tegas untuk mengekang kegiatan jenayah ini daripada terus berleluasa.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
