BELAIT, Khamis, 14 Mei 2026 – Dalam usaha mempertingkatkan kesedaran serta memperkukuh inisiatif membanteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam (NBD), Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan taklimat jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang (Trafficking in Persons) kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan di The Sea View Resort Hotel and Apartments, Belait.
Objektif utama taklimat tersebut diadakan adalah untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran peserta mengenai kaedah mengenal pasti individu yang berpotensi menjadi mangsa jenayah pemerdagangan orang di negara ini.

Dalam taklimat berkenaan, pihak penguatkuasa dan agensi barisan hadapan disarankan agar sentiasa berwaspada serta peka dalam mengenal pasti identiti dan keadaan tetamu yang berkemungkinan terjebak atau dieksploitasi sebagai mangsa pemerdagangan manusia.
Kerjasama daripada pihak pengurusan dan kakitangan hotel amat diperlukan dalam memainkan peranan penting untuk sama-sama membantu PPDB membanteras jenayah pemerdagangan manusia serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
