SINGAPURA, Rabu, 13 Mei 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menyertai Persidangan Anti-Scam 2026 yang berlangsung selama tiga hari, bermula dari 11 hingga 13 Mei 2026 di Singapura.

Persidangan bertajuk “United Against Scams” ini merupakan anjuran bersama Pasukan Polis Singapura, International Security Cooperation Directorate (DCIS) of the French National Police, United Arab Emirates (UAE) Ministry of Interior, and International Security Alliance (ISA).

Persidangan ini telah menghimpunkan lebih 500 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil dari lebih 20 buah negara di rantau Asia Tenggara, Eropah, dan Timur Tengah. Turut hadir ialah wakil daripada pelbagai organisasi antarabangsa, rakan industri, serta pihak berkepentingan tempatan. Fokus utama persidangan ini adalah untuk memperkukuh kerjasama strategik dan berkongsi amalan terbaik bagi membanteras rangkaian jenayah rentas sempadan.

Mewakili PPDB, Penguasa Kanan Polis Handrie bin Haji Amin, selaku Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, telah dijemput untuk menyampaikan pembentangan mengenai strategi menangani jenayah siber, khususnya berkaitan penipuan dalam talian (online scams).

Dalam pembentangan tersebut, beliau menekankan kepentingan pendekatan menyeluruh negara (whole-of-nation approach) yang melibatkan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat. Beliau menegaskan bahawa setiap pihak berkepentingan harus menggalas peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan tindakan segera dapat diambil terhadap sebarang aktiviti penipuan. Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan perkongsian maklumat dan risikan secara masa nyata (real-time) merentasi sempadan bagi melumpuhkan operasi sindiket penipuan antarabangsa.

Penglibatan aktif PPDB dalam platform antarabangsa ini mencerminkan komitmen proaktif dalam membanteras jenayah siber dan jenayah rentas negara yang kian mencabar. PPDB akan terus beriltizam untuk meningkatkan kerjasama dengan rakan penguatkuasa undang-undang antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat kekal terpelihara.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI