GADONG, Rabu 23 Mac 2022 – Majlis Penyerahan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sempena bulan Ramadhan tahun 1443H/2022M telah diadakan di Dewan Auditorium, Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei Jln Tungku.
Majlis tersebut disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Yang Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Dato Paduka Haji Awang Mohammad Hassan bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad, Timbalan Pengarah Jabatan Pentadbiran Am dan Kewangan PPDB.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diikuti dengan penyerahan kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada Ketua-Ketua Jabatan dan Formasi PPDB untuk diserahkan pengagihannya kepada pegawai dan anggota serta kakitangan PPDB melalui Jabatan, Formasi dan Unit masing-masing.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Pegawai-Pegawai Pemerintah Daerah Polis, Ketua-ketua Formasi serta Pegawai-Pegawai Kanan PPDB.
Bagi mengakhiri dan memberkati majlis tersebut , doa selamat telah dibacakan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
