TEMBURONG, Isnin 21 Mac 2022 – Kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan yang cuba dibawa masuk ke negara ini telah berjaya dikesan dan digagalkan berikutan daripada strategi rondaan yang dikendalikan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei pada 21 Mac 2022. 

Kejadian penemuan berlaku semasa keanggotaan detektif sedang menjalankan rondaan di kawasan Mukim Bokok yang menumpukan kepada kawasan Penurunan Perahu. Semasa kejadian, anggota bertugas telah berhasil menemukan beberapa bungkusan kotak yang mencurigakan telah ditinggalkan di kawasan tebing sungai dengan sengaja dipercayai salah satu taktik bagi tujuan penyeludupan. 

Adapun hasil daripada pemeriksaan awal ke atas penemuan kotak-kotak berkenaan telah mengandungi barang-barang tegahan berupa minuman keras dengan pelbagai jenama. Barangan segera dirampas dan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi tindakan pemeriksaan lanjut. 

Jumlah penemuan barang tegahan adalah sebanyak 228 botol dan segera diserah kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi peralihan siasatan dan tindakan seterusnya. 

Kerjasama PPDB bersama agensi penguatkuasa lain dalam membanteras jenayah penyeludupan barang tegahan di sempadan negara akan giat dijalankan dari masa ke semasa. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI