TEMBURONG, Khamis 17 Mac 2022 – Peroperasian pihak polis yang berterusan dengan menggerakkan keanggotaan petugas dalam strategi pencegahan jenayah membuahkan hasil bilamana 2 buah kenderaan dan 4 orang (suspek) telah berjaya ditahan bagi menjalani siasatan.
Insiden berkenaan berlaku pada 17 Mac 2022 sekitar jam 11.45 pagi semasa keanggotaan detektif Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sedang membuat rondaan dan telah mengesan 2 buah kenderaan yang mencurigakan di kawasan Jalan Bangar hala ke Jalan Labu berdekatan dengan Kompleks Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Daerah Temburong.
Kenderan-kenderaan tersebut segera ditahan bagi menjalani pemeriksaan Pihak Polis. Hasil daripada pemeriksaan telah menemukan sejumlah bungkusan mencurigakan dipercayai daging mentah yang tidak diisytiharkan iaitu daging jenama Allana sebanyak 18 kotak seberat 360 kg dan tongkeng sebanyak 12 kotak seberat 120 kg.
Tiga (3) daripada suspek adalah lelaki dan seorang perempuan, kesemuanya warganegara tempatan yang berumur lingkungan 40 – 46 tahun. Siasatan kes dan barang-barang bukti diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Bahagian Kawalan Makanan Halal Temburong bagi siasatan lanjut.
PPDB akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dari masa ke semasa bagi tujuan pembenterasan kegiatan-kegiatan jenayah terutama sekali barangan tegahan yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara seludup.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan-kegiatan sedemikian agar dapat berkongsi sama dengan menyalurkan terus melalui talian kecemasan polis 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
