BRUNEI MUARA, Selasa 1 Mac 2022 – Kelibat mencurigakan seorang lelaki (suspek) di dalam sebuah kedai mengundang padah bilamana didapati tersimpan di dalam beg sandang lelaki berkenaan beberapa barangan kedai yang dipercayai cuba dibawa curi keluar.

Berikutan insiden tersebut, Balai Polis Bandar Seri Begawan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan siasatan ke atas penemuan barangan kedai yang tidak diisytihar pembeliannya berjumlah $609.10 berupa pisau lipat, lonceng pintu, kunci keselamatan serta suis akses. 

Insiden terbongkar bila mana suspek dipercayai telah berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan dan telah dikesan oleh para pekerja kedai. Suspek kemudian ditahan di pintu keluar dan dikerah untuk menjalani pemeriksaan. Walau bagaimanapun suspek enggan memberi kerjasama dan cuba untuk melarikan diri. Suspek lalu berhasil ditahan dan pemeriksaan pun dijalankan. 

Suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 27 tahun dan didapati mempunyai keterlibatan di dalam kes curi yang dilaporkan di Kuala Belait. 

Menerusi perlakuan ini suspek boleh berdepan dengan kesalahan di bawah Sekysen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu curi di dalam bangunan yang membawa kepada hukuman penjara.

Sehubungan dengan perkara ini, PPDB menyeru kepada orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama ataupun tampil kemana-mana Balai Polis untuk mengongsikan sebarang maklumat yang berhubung kait dengan sebarang kegiatan jenayah. 

Dengan penyaluran maklumat tersebut akan memberi kesan impak yang tinggi dalam penurunan kadar jenayah dan sekaligus dapat mengesan apa jua pergerakan kegiatan jenayah.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI