BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 16 Feb 2022 – Bersempena Hari Puja Usia Ke-48 Tahun Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran serta Solat Hajat bertempat di Surau Sementara, Ibu Pejabat Polis, Gadong pada 16 Februari 2022. 

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei. 

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Sulaiman bin Alidin serta para pengarah, timbalan pengarah, para pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota serta kakitangan PPDB. 

Majlis yang dikendalikan oleh Badan Ugama Islam (BUI) PPDB ini dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah diikuti dengan solat hajat serta doa kesyukuran sempena Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis, APO/Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI