BRUNEI MUARA, Selasa 8 Feb 2022 – Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu serbuan dan seterusnya membuat penahanan ke atas seorang wanita (suspek) yang dipercayai melibatkan diri dengan kegiatan tidak bermoral.
Serbuan yang dijalankan pada 8 Februari 2022 sekitar waktu petang itu mensasarkan ke salah sebuah bilik rumah tumpangan di kawasan Kg Mulaut. Suspek adalah warganegara tempatan berumur 41 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan telah menginap di bilik penginapan tersebut sejak 3 hari yang lalu.
Pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian turut menemui bahan-bahan bukti seperti telefon bimbit, wang tunai serta peralatan yang digunakan bagi penyalahgunaan dadah.
Suspek kemudian segera dibawa ke Hospital RIPAS bagi menjalani ujian saringan (swab test) COVID-19 dan dimasukkan ke lokap Balai Polis Seria bagi menantikan keputusan ujian saringan sebelum siasatan lanjut dijalankan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 serta kesalahan memakan dadah terkawal, di bawah Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27; juga memiliki alat-alat untuk menghisap dadah, di bawah Seksyen 7 APD, Penggal 27.
Pihak Polis ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta boleh disalurkan melalui e-mel laman sesawang PPDB www.police.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
