BRUNEI MUARA, Khamis 27 Jan 2022 – Sebanyak 3 kotak bungkusan mencurigakan beserta sebuah motosikal ditemui hasil daripada rondaan Operasi Taskforce COVID-19 yang dikendalikan oleh keanggotaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). 

Insiden penemuan berlaku pada 26 Januari 2022 sekitar awal malam di kawasan Kg Menunggol, Daerah Brunei Muara. 

Hasil siasatan awal dan pemeriksaan yang dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Kg Ayer mendapati bungkusan mencurigakan tersebut ada mengandungi barangan tegahan iaitu rokok yang berjumlah 150 katon dengan pelbagai jenama. 

Kesemua barang rampasan termasuk sebuah motosikal diserahkan ke pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

PPDB bersama agensi penguatkuasa undang-undang yang lain akan terus memerangi jenayah rentas sempadan sepertinya tanpa ada sebarang kompromi dan berusaha dibenteras hingga ke akar umbi.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI